MEI 2024

Dasar Tenaga Hijau, Boleh Diperbaharui Sarawak Buka Hubungan Serantau


BANGKOK: Dasar Kerajaan Sarawak dalam membangunkan 

sumber tenaga hijau dan boleh diperbaharui membuka peluang untuk menjalinkan hubungan dua hala dengan negara-negara serantau. 

Keputusan untuk beralih kepada tenaga hijau bukan sahaja memanfaatkan alam sekitar malah memberi kesan yang mendalam kepada ekonomi dan masyarakat setempat, kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Tegasnya, perjalanan Sarawak ke arah ekonomi hijau bergantung kepada tiga tonggak utama iaitu kerjasama global, dasar yang efektif dan inovasi teknologi masa kini. 

“Komitmen Sarawak terhadap kuasa hidro boleh diperbaharui mewujudkan peluang untuk kami membangunkan hubungan dua hala dengan negara jiran Asia Tenggara.  Ini untuk berkongsi sumber boleh diperbaharui selain mempercepatkan peralihan tenaga serantau sejajar dengan cita-cita kuasa besar tenaga boleh diperbaharui serantau,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucaptama pada Persidangan Masa Depan Tenaga Asia 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Ratu Sirkit (QSNCC), Bangkok hari ini. 

Matlamat untuk masa depan Sarawak seperti yang digariskan dalam PCDS 2030, katanya, telah berjaya mengubah landskap tenaga dan mencapai kejayaan ekonomi sehingga Sarawak diiktirafkan sebagai negeri berpendapatan tinggi oleh Bank Dunia.

Abang Johari menegaskan, Sarawak menggunakan pendekatan hoslitik dalam pembangunan melalui pelaksanaan Dasar Ekonomi Hijau yang menyatukan alam sekitar dan keterangkuman sosial dalam memakmurkan ekonomi dan memastikan pertumbuhan itu bukan hanya cepat tetapi juga bertanggungjawab.

Beliau menjelaskan, Sarawak tetap komited membangunkan tenaga diperbaharui dengan sasaran menjana 10 gigawatt tenaga diperbaharui menjelang 2030 atau Matalamat “102030”.

Menurutnya, Sarawak telah memulakan langkah pertama pada 2016 melalui pembinaan Grid Tans Borneo dengan pentauliahan sambungan antarabangsa dan rentas sempadan pertama Sarawak ke Kalimantan Barat, Indonesia.

Dari situ, Sarawak terus membina hubungan kukuh dengan negara jiran Indonesia, memajukan Projek Hidroelektrik Mentarang Induk (MIHEP) di Kalimantan Utara melalui syarikat usaha sama dengan rakan kongsi di Indonesia, jelas beliau lagi.